KLASIFIKASI AHLI
Kami berharap dapat menjadikan Malaysia Negara yang lebih bahagia untuk semua.


 

PERLEMBAGAAN BAGI
PERTUBUHAN INDUK
PERSATUAN PATRIOT KEBANGSAAN

 

 

Fasal 1 Nama

(1.1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PATRIOT KEBANGSAAN atau ringkasannya PPK yang mana selepas ini disebut sebagai “Persatuan”.

(1.2) Takrif Nama:

(1.2.1) "PATRIOT” adalah nama sengkatan atau gelaran kepada Persatuan Patriot Kebangsaan yang ditubuhkan oleh bekas Pegawai pegawai Pasukan Keselamatan Malaysia. Bagi maksud perlembagaan ini perkataan PATRIOT dan Persatuan mempunyai makna yang sama;

(1.2.2)
"bekas ahli Pasukan Keselamatan” bermaksud mereka yang pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan mereka yang pernah berkhidmat dengan tentera Komanwel;

(1.2.3) "ekas Pegawai-pegawai Pasukan Keselamatan Malaysia” adalah terdiri dari mereka yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyandang pangkat yang bertauliah dan mereka yang telah berkhidmat dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang menyandang pangkat yang diwartakan;

(1.2.4) "bekas Lain-lain Pangkat Pasukan Keselamatan Malaysia” adalah terdiri dari mereka yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang menyandang pangkat selain dari yang dimaksudkan oleh istilah “bekas Pegawai-pegawai Pasukan Keselamatan Malaysia”;

(1.2.5) "Tagline atau Cogan Kata (Moto)”: “TRUTH COURAGE COUNTRY” – menerangkan prinsip perjuangan PATRIOT yang berlandaskan KEBENARAN dengan penuh KEBERANIAN demi kepentingan TANAH AIR. Tagline atau Moto boleh diletakkan di bawah lambang PATRIOT mengikut kesesuaian dan keperluan.

 


 

Fasal 2 TEMPAT URUSAN


(2.1)
Alamat berdaftar, tempat urusan dan alamat surat menyurat Persatuan ialah:

Tingkat 1, No 27 Jalan USJ 9/5P, USJ 9 SUBANG
BUSINESS CENTRE, 47620 SUBANG JAYA,
SELANGOR DARUL EHSAN.

(2.2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.


 

Fasal 3 MATLAMAT

(3.1) Mewujudkan semangat cinta pada negara di kalangan rakyat Malaysia.

(3.2) Meningkatkan dan menentukan perlaksanaan pentadbiran negara yang baik selaras dengan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN dan prinsip-prinsip RUKUN NEGARA, demokrasi dan hak-hak kemanusiaan;

(3.3) Meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan negara;

(3.4) Melibatkan diri dengan perbincangan, pengolahan dan sumbangan pendapat dalam perkara-perkara yang melibatkan pertahanan, keselamatan dan kedaulatan negara;

(3.5) Meningkatkan dan memperjuangkan tahap kebajikan dan kesejahteraan kesemua rakyat Malaysia.

(3.6) Menyedia, mengurus dan menjalankan program Latihan Pembangunan modal insan khasnya bagi ahli Persatuan dan bagi semua golongan secara amnya.

 


 

Fasal 4 KEAHLIAN

(4.1) Keahlian Persatuan.

( 4.1.1) Anggota yang pernah berkhidmat sebagai pegawai bertauliah ATM atau pegawai berwarta PDRM (pasokan keselamatan).

(4.1.2) Anggota yang pernah berkhidmat di dalam ATM yang tidak bertauliah (Lainlain Pangkat - LLP) atau bekas Anggota Pangkat Rendah – APR) PDRM.

(4.1.3) Keahlian Persatuan juga terbuka pada orang awam termasuk bekas kakitangan Perkhidmatan Awam dari berbilang bangsa, agama dan jantina.

(4.2) Kewarganegaraan Ahli.

(4.2.1) Semua ahli adalah warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun keatas dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

(4.2.2) Semua yang telah disahkan sebagai ahli Persatuan akan dikenali sebagai ahli ‘PATRIOT’.

(4.2.3) Hak Mengundi. Semua ahli berhak mengundi semasa pemilihan Ahli-Ahli Jawatan Kuasa Induk yang dijalankan setiap dua (2) tahun sekali.

(4.3) Ahli Kehormat.

(4.3.1) Ahli Kehormat adalah orang perseorangan yang dilantik oleh Presiden mengikut budi bicaranya dari masa ke semasa untuk tempoh satu (1) tahun atau dua (2) tahun, atau selagi mana perkhidmatannya masih diperlukan, maka boleh lah disambung mengikut jangka masa yang difikirkan sesuai oleh Presiden. Mereka ini hendaklah terdiri dari kalangan orang perseorangan yang berkredibiliti, berintegriti, berkedudukan dan mempunyai latar belakang yang terpuji serta telah mempamerkan komitmen yang tinggi dalam mendukung objektif Persatuan;

(4.3.2) Ahli kehormat tidak boleh mengundi atau memegang sebarang jawatan dalam persatuan tetapi boleh memberi pandangan dan cadangan jika perlu;

(4.3.3) Ahli kerhormat berhak menikmati keistimewaan seperti ahli biasa;

(4.3.4) Ahli kehormat di kecualikan dari membayar yuran.

 


 

Fasal 5 TATATERTIB DAN PERBERHENTIAN AHLI

(5.1) FASAL 5 TATATERTIB DAN PERBERHENTIAN AHLI

(5.1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan notis bertulis dua (2) minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat dan menjelaskan segala hutangnya;

(5.2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan boleh mencemarkan nama baik PATRIOT boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh masa yang difikirkan munasabah oleh Jawatan Kuasa. Sebelum Jawatan Kuasa memecat atau menggantung keahlian ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela diri. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

(5.3) Satu Jawatan Kuasa Tatatertib yang akan menyiasat dan menimbangkan kes kes tatatertib juga boleh dilantik di atas arahan Presiden apabila wujudnya keperluan. Jumlah ahli dan senarai keahlian akan ditetapkan oleh Presiden sepertimana yang dinyatakan di dalam undang-undang kecil yang berkaitan. Jawatan Kuasa-Jawatan Kuasa yang perlu ditubuhkan adalah.

(5.3.1) Jawatan Kuasa Tatatertib: Keanggotaan ahli-ahli Jawatan Kuasa ini hendaklah seramai 5 (Lima) orang. Namun paling minimum hanya 3(tiga) orang diperlukan untuk membuat keputusan;

(5.3.2) Jawatan Kuasa Rayuan: Keanggotaan ahli-ahli Jawatan Kuasa ini hendaklah seramai 5 (lima) orang. Namun paling minimum hanya 3 (tiga) orang diperlukan untuk membuat keputusan.

(5.3.3) Sebarang keputusan oleh Jawatan Kuasa – Jawatan Kuasa diatas adalah MUKTAMAD DAN TIDAK BOLEH DICABAR oleh sesiapa pun termasuk di manamana mahkamah jua.

 


 

Fasal 6 SUMBER KEWANGAN


(6.1) S6.1 Sumber kewangan Persatuan ini yang diterima dari ahli-ahli adalah daripada yuran-yuran berikut: Yuran daftar keahlian: RM 30.00 (Ringgit Tiga Puluh Sahaja);

(6.1.2) Yuran Keahlian Tahunan: RM 120.00 (Ringgit Satu Ratus Dua Puluh Sahaja) untuk semua kategori keahlian melainkan Ahli Kehormat.

(6.1.2.1) Yuran Tahunan hendaklah dijelaskan kepada bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 7 hari dari awal tiap-tiap tahun;

(6.1.2.2) Ahli yang membiarkan yuran tahunan tidak dibayar lebih dari enam(6) bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan yuran tahunan yang tertunggak terlebih dahulu.

(6.1.2.3) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang;

(6.1.2.4) Yuran khas atau Kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agong ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran;

(6.2) Jawatan Kuasa Induk berhak mengkaji dan menetapkan amaun yuran dari masa ke semasa mengikut kewajaran. Sebarang pindaan kepada kadar yuran hendaklah mendapat kelulusan Mesyuarat Agong Tahunan;

(6.2.1) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara-perkara yang tertentu hendaklah dibuat dengan persetujuan Ahli Jawatan Kuasa Induk;

(6.3) Sumbangan: Persatuan boleh menerima sumbangan dari bentuk kewangan atau barangan bagi kegunaan persatuan dari:
a. Kerajaan
b. Swasta
c. Orang Perseorangan
d. Pertubuhan tempatan atau luar negara bagi projek-projek tertentu yang diiktirafkan oleh pihak berkuasa.

(6.4) Semua sumbangan hendaklah direkodkan sebagai harta Persatuan dan tidak kepada individu. Setiap sumbangan hanya boleh diterima dengan syarat ianya tidak mengikat Persatuan dengan apa-apa agenda atau kehendak penderma atau penyumbang. Sekiranya ada kecurigaan tentang status sumbangan tersebut, pendapat dan keputusan Ahli Jawatan Kuasa Induk hendaklah diperolehi.

(6.5) Kegiatan Ekonomi: Persatuan ini boleh menjalankan kegiatan-kegiatan menjana ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, memiliki harta alih dan tidak alih serta lain-lain kegiatan ekonomi yang seumpamanya bagi tujuan pengurusan operasi dan pengurusan Persatuan. Namun pematuhan ketat hendaklah berlandaskan kepada Undang-undang Kecil Persatuan yang wujud.

 


 

Fasal 7 MESYUARAT AGUNG


(7.1)
Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agong. Sekurang kurangnya separuh (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua (2) kali jumlah Ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agong bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk memulakan mesyuarat.

(7.2) Jika korum masih tidak mencukupi selepas setengah (1/2) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan selama 30 minit. Setelah itu, apabila mesyuarat dimulakan, maka berhaklah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat namun tidak berkuasa meminda Perlembagaan Persatuan.

(7.3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dalam tempoh dalam tempoh satu (1) tahun daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan terakhir pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Agenda Mesyuarat Agung Tahunan adalah:

(7.3.1) menyemak dan meluluskan minit Mesyuarat Agong Tahunan yang lalu;

(7.3.2) mempertimbangkan dan mengesahkan laporan Jawatankuasa berkenaan aktiviti Persatuan yang lalu;

(7.3.3) mempertimbangkan, mengesah dan meluluskan laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit;

(7.3.4) memilih ahli-ahli Jawatankuasa (jika berkenaan);

(7.3.5) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(7.4) Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang kurangnya empat belas (14) hari sebelum Mesyuarat Agong Tahunan diadakan, satu agenda mesyuarat termasuk salinan minit mesyuarat dan laporan aktiviti tahunan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun yang lalu yang telah diaudit. Salinan dokumen-dokumen berkenaan hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(7.5) Mesyuarat Agong Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:

(7.5.1) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa; atau

(7.5.2) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi; dengan

(7.5.3) menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan ini hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat Persatuan.

(7.6) Mesyuarat Agong Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7.7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agong Khas itu hendaklah di edarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(7.8) Fasal 7.1 dan 7.2 di dalam perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan terpakai untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(7.9) Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan minit-minit Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dalam tempoh 3 bulan setelah selesainya mesyuarat itu.

(7.10) Pengundian Secara Proksi: Bagi tujuan pengundian, mana-mana ahli yang tidak dapat hadir di Mesyuarat Agong Tahunan atau Mesyuarat Agong Khas, dibenarkan melantik mana-mana ahli lain sebagai wakil (proksi) untuk mengundi dengan menggunakan borang proksi Persatuan.

(7.10.1) Seseorang ahli yang hadir hanya dibenarkan membawa satu (1) borang proksi sahaja.

 


 

Fasal 8 JAWATANKUASA

(8.1) 8.1 Satu Jawatankuasa berjumlah 17 (Tujuh Belas) orang seperti berikut yang dinamakan Pegawai-pegawai Persatuan hendaklah dipilih dua (2) tahun sekali di dalam Mesyuarat Agong Tahunan:

(8.1.1) Seorang Presiden (bekas Pegawai Pasukan Keselamatan);

(8.1.2) Seorang Timbalan Presiden (bekas Pegawai Pasukan Keselamatan);

(8.1.3) Tiga (3) orang Naib Presiden;

(8.1.3.1) Dua (2) bekas Pegawai Pasukan Keselamatan;

(8.1.3.2) Seorang (1) dari orang awam.

(8.1.4) Seorang Setiausaha Kehormat:

(8.1.4.1) Seorang Setiausaha Kehormat (bekas Pegawai Pasukan Keselamatan);

(8.1.4.2) Seorang Penolong Setiausaha Kehormat (terbuka kepada semua ahli);

(8.1.4.3) Jawatan Setiausaha Kehormat adalah dilantik oleh Presiden dengan kuasa budi bicaranya manakala Penolong Setiausaha Kehormat dipilih.

(8.1.5) Bendahari Kehormat:

(8.1.5.1) Seorang Bendahari Kehormat (bekas Pegawai Pasukan Keselamatan);

(8.1.5.2) Seorang Penolong Bendahari Kehormat (terbuka kepada semua ahli);

(8.1.6) Enam (8) orang Ahli Jawatankuasa Induk:

(8.1.6.1) Empat orang bekas Pegawai Pasukan Keselamatan;

(8.1.6.2) Empat (4) orang (terbuka);

(8.2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini hendaklah terdiri dari warganegara Malaysia. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agong Tahunan. Semua pegawai boleh dipilih semula tidak melebihi tiga (3) penggal;

(8.2.1) Walau bagaimanapun, seseorang ahli masih boleh dilantik semula setelah sepenggal tidak memegang jawatan.

(8.3) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat Keputusan atas perkara perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agong. Jawatankuasa seharusnya tidak boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan Mesyuarat Agong dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi Keputusan mesyuarat agong. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun yang lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agong.

(8.4) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya empat (4) kali dalam setahun. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli Jawatankuasa tujuh (7) hari terlebih dahulu. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2)daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(8.5) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum Keputusan Jawatankuasa:

(8.5.1) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dinyatakan dengan terang dan jelas di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada setiap Ahli Jawatankuasa; Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap itu;

(8.6) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang Keputusan yang didapati melalui surat pekelilling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatit kedalam
minit.

(8.7) Ahli Jawatankuasa yang tidak menghadiri mesyuarat Jawaatankuasa dua (2) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan.

(8.8) Jika seorang Ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Presiden atau Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agong Tahunan diadakan kelak.

(8.9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Kehormat dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kekitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(8.10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang Ahli Jawatankuasa.

(8.11) Jawatankuasa yang lama hendaklah menyerahkan semua dokumen Persatuan seperti Sijil Pendaftaran, Perlembagaan Berdaftar, Salinan Penyata Tahunan, surat-surat maklumbalas, buku-buku akaun, buku bank, cek dan resit, geran-geran tanah, senarai asset dan sebagainya kepada Jawatankuasa baru.

(8.12) Presiden juga berkuasa melantik satu Sekretariat berkaitan Komunikasi Korporat yang bertanggungjawab:

(8.12.1) mempromosi dasar, program dan aktiviti Persatuan ke arah pembentukan imej yang positif melalui promosi dan publisiti yang strategik dan berkesan;

(8.12.2) menggalakkan penyertaan dan meningkatkan penghayatan serta memberi kefahaman masyarakat mengenai dasar, program dan aktiviti dengan lebih berkesan;

(8.12.3) mengurus komunikasi korporat dengan media dan merancang pelan tindakan media dalam penyebaran maklumat secara efisien bagi memenuhi ketepatan masa dan objektif Persatuan secara keseluruhan;

(8.12.4) bertindak sebagai jurucakap Persatuan dalam menyampaikan maklumat berhubung dengan fakta dan situasi yang berkaitan dengan Persatuan;

(8.12.5) memantau dan menilai liputan media dan kesannya mengenai perkembangan semasa serta memberi maklumbalas kepada isu-isu yang dibangkitkan;

(8.12.6) mengurus maklumbalas berhubung isu yang melibatkan imej Persatuan serta membentuk perhubungan dengan media dalam membetulkan salah liputan atau tanggapan;

(8.12.7) berperanan sebagai penasihat dalam bidang komunikasi korporat dan perhubungan pengurusan media serta protocol bagi merancang dan menasihati Persatuan tentang strategi-strategi komunikasi korporat;

(8.12.8) bertindak sebagai penyelaras media dan menjadi sebahagian daripada pihak pengurusan Persatuan; dan

(8.12.9) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan pelan tindakan penurusan acara bagi aktiviti Persatuan berhubung promosi, publisiti dan kempen dengan media.

 


 

Fasal 9 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB PENYANDANG JAWATAN

(9.1) Presiden: Dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agong dan semua masyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani minit mesyuarat bila ia diluluskan;

(9.1.1) Presiden bertanggunjawab merancang, mengurus dan mentadbir perjalanan persatuan berasaskan kepada matlamat persatuan;

(9.1.2) Presiden juga berkuasa untuk melantik mana-mana ahli PATRIOT yang difikirkan sesuai serta layak untuk menjawat apa-apa jawatan yang boleh menyumbang kepada kecemerlangan persatuan sebagai Ahli Jawatankuasa Induk atau jawatan tertentu yang difikirkan perlu;

(9.2) Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.

(9.3) Naib-naib Presiden hendaklah menjalankan tugas-tugas khas bagi membantu Presiden dalam menerajui Persatuan. Tugas tugas ini akan ditetapkan oleh Ahli ahli Jawatankuasa Induk.

(9.4) Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan
mengikut perlembagaan;

(9.4.1) menjalankan semua perintah mesyuarat agung dan jawatankuasa;

(9.4.2) bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat;

(9.4.3) menyimpan semua rekod dan dokumen Persatuan, kecuali buku-buku akaun dan dokumen kewangan;

(9.4.4) menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi maklumat terperinci ahli mengikut kategori seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah kediaman tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat.

(9.5) Penolong Setiausaha Kehormat hendaklah membantu Setiausaha Kehormat dalam menjalankan tugas-tugasnya. Penolong Setiausaha Kehormat akan memangku jawatan Setiausaha Kehormat di waktu ketiadaannya.

(9.6) Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Dia hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya atas ketepatan penyata kewangan Persatuan yang terdiri daripada Penyata Penerimaan dan Perbelanjaan serta kunci kira-kira. Undang-undang Kecil Persatuan berkaitan kewangan juga hendaklah dipatuhi.

 


 

Fasal 10 KEWANGAN

(10.1) T10.1 Tertakluk kepada peruntukkan-peruntukkan Perlembagaan ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi tujuan pengoperasian Persatuan, termasuklah belanja pengurusan pentadbiran, bayaran
gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji Persatuan serta upah bayaran Juruaudit.

(10.2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak melebihi daripada RM1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja) pada sebilang masa. Wang tunai melebihi dari jumlah itu hendaklah dimasukkan ke dalam akaun Persatuan dalam tempoh tujuh (7) hari.

(10.2.1) Perbelanjaan kurang daripada RM10,000.00 (Ringgit Sepuloh Ribu) boleh dibelanja oleh Presiden pada bila-bila masa.

(10.2.2) Jawatan Kuasa Induk dibenarkan belanja lebih daripada RM10,000.00 (Ringgit Sepuloh Ribu) dan tidak melebihi RM100,000.00 (Ringgit Satu Ratus Ribu) pada sebilang masa.

(10.2.3) Perbelanjaan yang melebihi RM100,000.00 (Ringgit Satu Ratus Ribu) mesti mendapat kebenaran dari ahli semasa Mesyuarat Agung.

(10.3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Persatuan hendaklah ditandatangani oleh 2 (dua) dari 3 (tiga) orang iaitu Presiden dan Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa berhak melantik sesiapa antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau pengeluaran wang Persatuan semasa ketiadaan mana
mana penanda tangan tersebut.

(10.4) Sebarang perbelanjaan bagi tujuan pengurusan operasi Persatuan hendaklah mendapat persetujuan Persatuan dan kelulusan Jawatankuasa Induk Persatuan dengan merujuk kepada Fasal 15.5 Perlembagaan ini serta Undang-undang Kecil
Persatuan.

(10.4.1) Bagi Tujuan Fasal 6.5, sebanyak 80% (Lapan Puluh Peratus Sahaja) dari pendapatan boleh dikeluarkan untuk tujuan urusan Persatuan.

(10.5) Penyata kewangan bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 11 Perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kewangan yang telah diaudit hendaklah diedarkan untuk makluman ahliahli dan dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agong Tahunan yang
berikut. Setiap salinan tersebut hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli-ahli ditempat urusan Persatuan.

(10.6) Tahun kewangan Persatuan ini hendaklah bagi tempoh 12 bulan iaitu bermula dari 1hb Januari.

 


 

Fasal 11 JURUAUDIT

(11.1) Dua (2) orang ahli Persatuan yang bukannya pegawai Persatuan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Merekayang memegang jawatan selama dua (2) tahun boleh dilantik semula.

(11.2) Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa penyata kewangan Persatuan bagi setiap tahun kewangan berakhir. Juruaudit hendaklah membuat perakuan dan menandatangani penyata kewangan tersebut untuk pertimbangan Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit penyata kewangan Persatuan pada bila-bila masa di dalam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

 


 

Fasal 12 PENTADBIR HARTA


(12.1)
Segala harta tidak alih Persatuan hendaklah didaftarkan atas nama Persatuan dan segala surat cara perlaksanaan berkaitan dengan harta ini dianggap sah dan berkuatkuasa seolah-olah ianya telah dilaksanakan oleh seorang tuan punya yang berdaftar dengan syarat surat cara itu disempurnakan oleh tiga (3) orang pemegang jawatan Persatuan pada masa itu yang mana perlantikan mereka disahkan melalui sijil perakuan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan dimeteri dengan meteri Persatuan.

 


 

Fasal 13 TAFSIRAN PERLEMBAGAAN PERTUBUHAN

(13.1) Dalam tempoh di antara dua Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini dan Jawatankuasa, jika perlu, boleh memutuskan perkara-perkara yang kurang jelas di dalam Perlembagaan ini.

(13.2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh Keputusan Mesyuarat Agung.

(13.3) Ahli Jawatankuasa Induk boleh dari semasa ke semasa membuat peraturanperaturan tatatertib Persatuan dan undang-undang kecil (by laws) atau peraturan pindaan yang difikirkan perlu bagi jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan dari masa kesemasa selagi ianya tidak bertentangan atau selaras dengan perlembagaan ini.

(13.4) Undang-undang kecil atau peraturan pindaan itu boleh dari semasa kesemasa dipinda atau dibatalkan dengan syarat notis pembatalan atau pindaan itu dihantar kepada jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan tiga puluh (30) hari sebelum pindaan atau pembatalan itu boleh berkuatkuasa dan dalam tempoh itu bolehlah Jawatankkuasa-jawatankuasa berkenaan jika dikehendaki, membuat apa-apa pembatalan kepada Setiausaha Kehormat.

 


 

Fasal 14 PENASIHAT / PENAUNG


(14.1)
14.1 Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak
Menjadi Penasihat/Penaung untuk tempoh Dua (2) Tahun bagi Persatuan ini
dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis
terlebih dahulu.

 


 

Fasal 15 LARANGAN

(15.1) Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 adalah dilarang di permis Persatuan.

(15.2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan pekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Pekerja 1959.

(15.3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahliahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan dari pihak berkuasa yang berkenaan.

(15.4) Faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

(15.5) Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam kegiatan ekonomi hendaklah disalurkan kembali kepada Persatuan bagi mencapai matlamat Persatuan ini dan tidak boleh digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana ahli Persatuan. Sungguhpun begitu peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran gaji atau perbelanjaan pentadbiran atau kedua-duanya kepada mana mana ahli atau pekerja Persatuan.

(15.6) Persatuan penganut tidak dibenarkan mentadbir rumah ibadat.

 


 

Fasal 16 PINDAAN PERLEMBAGAAN


(16.1)
Perlembagaan ini tidak boleh dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk pindaan perlembagaan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung yang meluluskan pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

 


 

Fasal 17 PEMBUBARAN

(17.1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(17.2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut perlembagaan hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

(17.3) Permohonan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan pembubaran itu.

 


 

Fasal 18 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA


(18.1) LAMBANG

Figura manusia menjulang bintang berbucu 5 berwarna kuning melambangkan warga Patriotik Malaysia dengan teguh menjunjung Lima Prinsip RUKUN NEGARA yang berlandaskan KEBENARAN, KEBERANIAN & TANAH AIR (TRUTH COURAGE COUNTRY);

(18.2) LAMBANG RESMI
Lambang ini menjadi Bendera resmi PATRIOT dan sebarang surat menyurat akan menggunakan lambang ini. Lambang ini boleh direkabentuk menggunakan kain, logam atau apa-apa material yang sesuai. Saiz lambing boleh dibesar atau dikecilkan mengikut keperluan tetapi hendaklah mengikut nisbah ukuran yang sama tanpa apa-apa pindaan atau tambahan kepadanya;

(18.3) PENGGUNAAN

(18.3.1)
Lambang dan Cogan Kata adalah merupakan tanda pengenalan Persatuan dan boleh digunakan untuk semua aktiviti
Persatuan. Penggunaan nya hendaklah dilakukan dengan menentukan yang ianya tidak membawa imej serta implikasi yang negative kepada PATRIOT;

(18.3.2) Penggunaan lambang ini hendaklah mendapat kelulusan Ahli Jawatankuasa Induk bagi tujuan mengelakkan sebarang kekeliruan kelak;

(18.3.3) Ahli-ahli Persatuan berhak secara bersesuaian memakai dan menggunakan lambang ini untuk kegunaan peribadi selagi mereka kekal sebagai ahli serta tidak mencemarkan imej PATRIOT;

(18.4) KETERANGAN WARNA

(18.4.1) Latarbelakang PUTIH bagi keseluruhan lambang ini menggambarkan semangat kesucian, keikhlasan dan iltizam warga patriotik tanah air dalam mendukung 5 Prinsip RUKUN NEGARA;

(18.4.2) Warna KUNING melambangkan negara Malaysia yang mengamalkan RAJA BERPELEMBAGAAN;

(18.4.3) Warna MERAH pula melambangkan semangat yang berkobar-kobar warga Malaysia dalam memperjuangkan kedaulatan negara;

(18.4.4) Warna BIRU pula melambangkan PERPADUAN di kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa serta latar berlakang yang pelbagai;

(18.4.5) Warna HITAM bagi cogan kata PATRIOT adalah melambangkan kecekalan hati dan keberanian rakyat Malaysia dalam menperjuangkan kedaulatan negara.

(18.5) COGAN KATA – KEBENARAN, KEBERANIAN & TANAH AIR (TRUTH COURAGE COUNTRY)

(18.5.1) menjelaskan prinsip perjuangan PATRIOT yang cekal dan istiqomah dalam menjunjung 5 RUKUN NEGARA berasaskan KEBENARAN, KEBERANIAN untuk TANAH AIR. Segala perjuangan PATRIOT akan sentiasa berlandaskan kepada COGAN
KATA tersebut;

(18.5.2) PATRIOT akan sentiasa memperjuangkan KEBENARAAN dengan KEBERANIAN yang tidak boleh diganggu gugat. Ianya bermatlamatkan kepada KESEJAHTERAAN, KEHARMONIAN dan PERPADUAN TANAH AIR kita yang tercinta ini.

 

LAMPIRAN

  1. Bendera
    - Keterangan

  2. Lambang
    - Keterangan

  3. Lencana
    - Keterangan